Thursday, April 15, 2010

Kepentingan bermain


Dalam konteks di Malaysia, program pendidikan prasekolah merupakan program tidak formal untuk murid berumur antara 4 hingga 6 tahun bertujuan untuk menyediakan murid dengan kehidupan seharian dan juga persediaan menghadapi pendidikan formal sekolah rendah. Kurikulum Prasekolah ini dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai pendekatan terutama bermain sambil belajar di samping pendekatan bersepadu dan bertema serta ICT. Garis panduan yang sedemikian di dalam kurikulum prasekolah kebangsaan menampilkan satu persamaan iaitu penglibatan aktiviti menyeronokkan. Jelas sekali pendekatan yang digunapakai menunjukkan keseriusan aktiviti bermain digunakan oleh guru yang kadang kala dianggap sebagai aktiviti yang dianggap banyak membuang masa kanak-kanak oleh sesetengah pihak.

Kepentingan bermain dalam dunia pendidikan kanak-kanak khususnya di prasekolah memerlukan orang dewasa sebagai individu yang bertanggungjawab dalam kehidupan belajar kanak-kanak. Salah satu peranan penting ialah mewujudkan persekitaran yang penuh kasih sayang dan merangsang minda serta fizikal kanak-kanak. Oleh itu, adalah penting bagi kita menggunakan kemahiran yang boleh membantu kanak-kanak untuk melaksanakan tanggungjawab kita dengan lebih baik. Seseorang kanak-kanak itu mula menyerap maklumat sejak dia dilahirkan (Maria Montessori). Maklumat-maklumat ini sebahagian besarnya diperolehi daripada ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa bertanggunagjawab sepenuhnya dalam pembelajaran awal anak-anak mereka, dan peranan mereka sebagai guru adalah penting. Penglibatan ibu bapa dalam aktiviti bermain kanak-kanak boleh dihubungkaitkan dengan perkembangan intelek dan emosi kanak-kanak ( Singer, 1973; Dun and Wooding, 1977). Suatu kajian berskala kecil (Manaf, Norimah, Sharifah, Wong, 2007) yang telah dilakukan oleh sekumpulan pelajar Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak di bawah penyeliaan penulis telah membuktikan bahawa penglibatan positif ibu bapa dapat meningkatkan tahap kekreatifan minda kanak-kanak.


No comments:

Post a Comment