Tuesday, April 20, 2010

Teacher Netty Zarina


Kuatkanlah Iman dalam diri ini & permudahkan mereka untuk menerima pelajaran.

Thursday, April 15, 2010

Main Peranan Dalam Pelajaran


Hala Tuju Main dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak



Main seperti yang telah dibincangkan di atas mempunyai peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak bukan sahaja dari aspek 3M tetapi juga dari aspek sahsiah dan tingkahlaku seseorang individu kanak-kanak. Kurikulum prasekolah kebangsaan khususnya sentiasa menggalakkan komunikasi dan imaginasi serta permainan yang dapat dan boleh menarik minat dan menggembirakan kanak-kanak. Bagaimanapun apa yang berlaku ialah walaupun kurikulum prasekolah kebangsaan sendiri mengalakkan permainan, kadang-kadang terdapat tadika yang kurang memberi perhatian terhadap main. Persoalannya adakah main tidak digunakan kerana ia membebankan kanak-kanak dan guru? Atau adakah main yang digunakan sebagai ganjaran untuk kanak-kanak selepas penat membuat aktiviti akademik lain di bilik darjah? Atau adakah main digunakan sebaik mungkin di bilik darjah kerana mereka yang mengajar seharusnya peka kepada maksud kaedah main sambil belajar? Adakah main hanya sebagai mitos teori idealist atau yang memang sepatutnya digunapakai? Kesimpulannya tepuk dada tanya minda khususnya untuk kesinambungan generasi celik akal baik di sekolah maupun di tempat lain.

Peranan Guru Dalam Menggalakkan Main



Morison ( 1995 ) menegaskan bahawa dalam menjayakan sesuatu permainan di pusat-pusat persekolahan, guru memainkan peranan yang penting untuk mencipta persekitaran dan juga merangsang serta memperkembangkan daya berfikir kanak-kanak. Menurut Joan Packer Isenberg dan Mary Renck Jalongo (2003), sebagai langkah awal, untuk memastikan aktiviti bermain dapat digunakan dengan lebih berkesan, guru-guru perlu menyediakan diri terhadap realiti dalam pengajaran seperti :

•Menyedari bahawa guru prasekolah akan dikelilingi oleh budaya yang pelbagai dan kemahuan- kemahuan dari pelbagai kumpulan kanak-kanak.

•Menyedari bahawa mengurus bilik darjah akan memerlukan keupayaan untuk melakukan pelbagai perkara serentak, membuat beribu keputusan serta merta setiap hari dan berupaya menyesuaikan diri secepatnya dan menjadi fleksible kepada perubahan.

•Memahami bahawa mereka terpaksa meringkaskan pengalaman yang tidak langsung dan menjadikan ianya berguna dan bermakna serta menyeronokkan kepada kanak-kanak terutama kanak-kanak yang mempunyai latar belakang pendidikan yang agak kurang baik dan juga tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka.

Kepentingan bermain


Dalam konteks di Malaysia, program pendidikan prasekolah merupakan program tidak formal untuk murid berumur antara 4 hingga 6 tahun bertujuan untuk menyediakan murid dengan kehidupan seharian dan juga persediaan menghadapi pendidikan formal sekolah rendah. Kurikulum Prasekolah ini dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai pendekatan terutama bermain sambil belajar di samping pendekatan bersepadu dan bertema serta ICT. Garis panduan yang sedemikian di dalam kurikulum prasekolah kebangsaan menampilkan satu persamaan iaitu penglibatan aktiviti menyeronokkan. Jelas sekali pendekatan yang digunapakai menunjukkan keseriusan aktiviti bermain digunakan oleh guru yang kadang kala dianggap sebagai aktiviti yang dianggap banyak membuang masa kanak-kanak oleh sesetengah pihak.

Kepentingan bermain dalam dunia pendidikan kanak-kanak khususnya di prasekolah memerlukan orang dewasa sebagai individu yang bertanggungjawab dalam kehidupan belajar kanak-kanak. Salah satu peranan penting ialah mewujudkan persekitaran yang penuh kasih sayang dan merangsang minda serta fizikal kanak-kanak. Oleh itu, adalah penting bagi kita menggunakan kemahiran yang boleh membantu kanak-kanak untuk melaksanakan tanggungjawab kita dengan lebih baik. Seseorang kanak-kanak itu mula menyerap maklumat sejak dia dilahirkan (Maria Montessori). Maklumat-maklumat ini sebahagian besarnya diperolehi daripada ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa bertanggunagjawab sepenuhnya dalam pembelajaran awal anak-anak mereka, dan peranan mereka sebagai guru adalah penting. Penglibatan ibu bapa dalam aktiviti bermain kanak-kanak boleh dihubungkaitkan dengan perkembangan intelek dan emosi kanak-kanak ( Singer, 1973; Dun and Wooding, 1977). Suatu kajian berskala kecil (Manaf, Norimah, Sharifah, Wong, 2007) yang telah dilakukan oleh sekumpulan pelajar Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak di bawah penyeliaan penulis telah membuktikan bahawa penglibatan positif ibu bapa dapat meningkatkan tahap kekreatifan minda kanak-kanak.